Kedai ayam gepuk terkenal dikompaun kerana kotor

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Di sebalik fenomena ayam gepuk yang tumbuh bagai cendawan, terdapat premis yang didakwa beroperasi dalam keadaan yang begitu kotor dan gagal mematuhi syarat kebersihan.

Menerusi kenyataan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pada lewat Jumaat, pihaknya memaklumkan pemeriksaan dilakukan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa kelulusan lesen tetap selain tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Pemeriksaan turut mendapati sisa makanan dibuang terus ke dalam longkang sehingga berpotensi mencemarkan persekitaran dan menjejaskan kebersihan awam.

“Premis didapati gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan selain terdapat sisa makanan dibuang terus ke dalam longkang sehingga boleh mengundang pencemaran,” katanya.

Susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan satu Notis Pemberitahuan di bawah Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MDKL) 2007 kerana pengendali makanan gagal mendapatkan suntikan imunisasi demam kepialu (tifoid).

Selain itu, satu lagi notis kesalahan turut dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 atas kegagalan menyelenggara premis dalam keadaan bersih dan baik.

MPKL turut mengarahkan pemilik premis melaksanakan tindakan pembetulan segera termasuk memastikan premis sentiasa bersih dan tersusun, menyelenggara perangkap minyak setiap hari, memastikan lantai bersih dan kering serta tidak meletakkan bahan mentah atau makanan di atas lantai.

“Pemilik premis diarahkan memastikan sisa makanan tidak dibuang ke dalam longkang selain memastikan semua rekod premis dan pengendali makanan disimpan di dalam premis bagi tujuan semakan pihak berkuasa,” ujarnya di laman rasmi Facebook MPKL.

MPKL turut menegaskan bahawa pemasangan perangkap minyak adalah syarat wajib bagi setiap permohonan lesen premis makanan sebagai langkah mengawal pencemaran serta memastikan sistem perparitan berada dalam keadaan baik.

“MPKL akan terus mempergiat pemantauan dan pemeriksaan berkala terhadap premis-premis makanan di seluruh kawasan pentadbiran bagi memastikan aspek kebersihan, keselamatan makanan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara demi kesejahteraan masyarakat,” jelasnya.

Berdasarkan komen di hantaran kandungan kenyataan MPKL itu, rata-rata warga atas talian mendakwa kedai itu merupakan antara kedai ayam gepuk yang semakin terkenal pada baru-baru ini lantas mencetuskan tanda tanya nama sebenar kedai yang terkenal itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat