Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kukuh malah tidak akan tergugat dengan sebarang usaha seperti Himpunan Turun Anwar di Ibu negara pada 26 Julai nanti.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kedudukan Anwar Ibrahim masih mendapat sokongan serta mandat majoriti Ahli Parlimen dalam Kerajaan Madani.
“Usaha menggugat kedudukan Perdana Menteri melalui himpunan juga tidak memberi kesan terhadap kestabilan politik semasa selain tiada hala tuju yang jelas.
“Ia lebih bersifat menangguk di air keruh dan hanya mencetuskan kebimbangan serta keresahan dalam kalangan rakyat tanpa menawarkan sebarang penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yakin rakyat semakin bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan himpunan yang didalangi pemimpin pembangkang.
“Bagaimanapun, kami tetap menjunjung prinsip demokrasi dan tidak menghalang hak mereka untuk berkumpul seperti yang dijamin Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan kini lebih menumpukan usaha untuk menstabilkan kos sara hidup, memperkukuh keyakinan pelabur serta memastikan penyampaian dasar dengan lebih berkesan kepada rakyat.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa satu perhimpunan yang dikenali sebagai ‘Turun Anwar’ dijangka dilaksana pada 26 Julai depan di empat lokasi pertemuan peserta himpunan sebelum masing-masing bergerak ke Dataran Merdeka iaitu di Masjid Negara, Kompleks Beli Belah Sogo, Pasar Seni dan Masjid Jamek.
Baca juga: