Kedutaan AS di Syria gesa rakyatnya tinggalkan negara, ‘mungkin serangan meningkat’

LONDON: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Syria telah mengeluarkan amaran mendesak semua warga AS untuk meninggalkan negara tersebut susulan ‘kemungkinan serangan yang meningkat’ menjelang sambutan Aidilfitri pada akhir Mac, yang menandakan tamatnya Ramadan dalam kalendar Islam.

Notis yang diterbitkan di laman web kedutaan pada lewat Jumaat itu memberi peringatan kepada rakyat AS tentang serangan yang mungkin menyasarkan ‘kedutaan, organisasi antarabangsa dan institusi awam Syria’ di ibu negara, Damsyik.

“Kaedah serangan boleh melibatkan, tetapi tidak terhad kepada, penyerang individu, kumpulan bersenjata atau penggunaan peranti letupan,” ujar notis itu.

“Tinggalkan Syria sekarang,” tambahnya memetik laporan ABC News.

Jabatan Negara AS telah menetapkan tahap amaran perjalanan ke Syria pada tahap empat (4), iaitu tahap tertinggi yang bermaksud warga AS dinasihati untuk tidak mengunjungi negara tersebut atas sebarang alasan.

“Nasihat ini kekal berkuat kuasa kerana risiko besar berkaitan keganasan, pergolakan awam, penculikan, penahanan tebusan, konflik bersenjata dan penahanan yang tidak adil,” kata kedutaan itu dalam notis terkininya.

Operasi kedutaan AS di Damsyik telah digantung pada tahun 2012 setelah perang saudara meletus antara rejim bekas Presiden Bashar Assad dan gabungan kumpulan pemberontak.

Assad telah digulingkan pada penghujung tahun lalu oleh pasukan pembangkang yang diterajui oleh kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham (HTS). Pemimpin HTS, Ahmed al-Sharaa kini menjadi Presiden sementara Syria.

“Kerajaan AS tidak dapat menyediakan perkhidmatan konsular rutin atau kecemasan kepada rakyatnya di Syria.

“Republik Czech bertindak sebagai kuasa perlindungan bagi kepentingan AS di Syria,” tulis kedutaan itu.

“Rakyat AS di Syria yang memerlukan bantuan kecemasan perlu menghubungi Bahagian Kepentingan AS di Kedutaan Republik Czech,” tambahnya.

Dengan ketegangan yang kian memuncak dan ancaman yang semakin membimbangkan, situasi itu menyerlahkan keperluan mendesak bagi warga AS untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan meninggalkan Syria dengan segera.

Pemerhatian global kini tertumpu kepada perkembangan di negara tersebut yang terus menjadi titik panas geopolitik yang kompleks.

Anda Mungkin Berminat