Keengganan Rafizi rasmi Kongres Sayap PKR undang pelbagai tafsiran – Penganalisis

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Keputusan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, yang enggan merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan wanita menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk andaian wujudnya perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan tertinggi parti.

Menurut penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi, tindakan itu memberi isyarat simbolik yang penting, khususnya dalam konteks tradisi dan budaya politik PKR.

“Secara konvensyen, Timbalan Presiden akan merasmikan kongres kedua-dua sayap parti. Apabila Rafizi menyimpang daripada kebiasaan ini, ia boleh ditafsirkan sebagai ketidakpuasan hati terhadap proses pemilihan, keputusan kepimpinan sayap, atau naratif yang dibawa dalam kongres tersebut,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Beliau berkata tindakan Rafizi itu juga boleh dilihat sebagai bentuk protes pasif terhadap hala tuju atau pengaruh tertentu dalam parti yang mungkin tidak selari dengan prinsip atau pendekatan beliau sendiri.

Menurutnya lagi, dalam suasana politik yang dinamik, perbezaan pandangan bukan perkara asing. Namun, tindakan berkenaan turut membuka ruang kepada spekulasi bahawa terdapat ketegangan dalam kalangan pucuk pimpinan parti, khususnya menjelang pemilihan dalaman atau Pilihan Raya Umum akan datang.

“PKR dikenali sebagai parti reformasi yang menekankan prinsip demokrasi dan perpaduan. Maka tindakan menarik diri daripada peranan protokol sebegini memberi gambaran wujudnya kecanggahan yang tidak dapat diselesaikan melalui saluran dalaman biasa,” jelas Awang Azman.

Mengulas kritikan yang melabel Rafizi sebagai “hati tisu”, beliau menyifatkan label itu sebagai tidak adil dan bersifat memperlekeh.

“Rafizi dikenali sebagai tokoh berprinsip dan sering lantang menyuarakan pendapat, termasuk terhadap kepimpinan partinya sendiri. Jika keputusan beliau itu didorong oleh soal integriti atau ketidaksesuaian dengan aspirasi reformasi, maka ia harus dihormati sebagai pendirian politik yang sah,” katanya.

Tambah beliau, kritikan berunsur peribadi hanya menggambarkan kegagalan pihak tertentu untuk mengurus perbezaan pandangan secara berhemah.

Meskipun tindakan ini menimbulkan spekulasi mengenai kedudukan Rafizi dalam parti, Awang Azman berpendapat penting untuk membezakan antara cabaran politik dan kelemahan politik.

“Memang wujud cabaran dalaman, terutama daripada kumpulan yang mungkin tidak sehaluan dengan pendekatan beliau yang lebih teknokratik dan kurang populis. Tetapi ini tidak menjejaskan sumbangannya terhadap naratif ekonomi dan dasar awam dalam kerajaan perpaduan,” katanya lagi.

Beliau menyimpulkan bahawa isu ini bukan sekadar soal kehadiran atau protokol, sebaliknya mencerminkan pergelutan ideologi dan cabaran kepimpinan dalam PKR yang sedang berkembang sebagai sebuah parti matang.

“Ini seharusnya menjadi titik muhasabah untuk pimpinan parti supaya perbezaan pandangan tidak berubah menjadi perpecahan, sebaliknya diurus dengan hikmah demi kelangsungan perjuangan reformasi yang inklusif dan kukuh,” tegasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat