MUAR: Satu drama kehilangan yang mencetuskan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Tui, Muar kini terbongkar sebagai rekaan semata-mata.
Polis Daerah Muar mengesahkan bahawa kes kehilangan seorang lelaki berusia 38 tahun telah direka untuk tujuan peribadi, sekali gus membawa kepada siasatan terhadap dua beradik.
Pada 15 Julai, Polis Muar berkata, seorang lelaki bernama Tengku Abd Aziz Tengku Zainudin, 30, membuat laporan polis berkenaan kehilangan abangnya, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, yang dikatakan hilang ketika dalam perjalanan membaiki kenderaan di Muar.
“Polis Daerah Muar telah membuka satu kertas siasatan berhubung laporan polis palsu, pemberian keterangan tidak benar serta bersubahat dalam satu insiden kehilangan individu yang disyaki direka untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, hasil siasatan membawa kepada penemuan mengejut, di mana Nizaruddin dipercayai menenggelamkan kereta isterinya di sungai sebelum melarikan diri ke negara jiran.
Lebih mengejutkan, adiknya yang membuat laporan awal, didapati bersubahat dan berpura-pura melaksanakan usaha pencarian untuk mengaburi pihak polis.
“Siasatan mendedahkan bahawa mangsa dipercayai menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Muar sebelum melarikan diri ke negara jiran,” kata kenyataan itu.
Polis kini sedang menunggu kebenaran menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi meneruskan tindakan lanjut terhadap kedua-dua individu terbabit.