Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam era dunia yang semakin rancak mengejar kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), aspek pembangunan insan tidak boleh diketepikan demi mencapai kemajuan yang mampan.
Menurut beliau, sesebuah negara tidak boleh hanya menumpukan kepada pembangunan fizikal dan kemajuan teknologi semata-mata tanpa dipandu oleh kekuatan akidah, nilai kemanusiaan dan akhlak yang baik.
“Hari ini, semua negara berlumba-lumba mengejar kemajuan dan pembangunan. Banyak negara memberi tumpuan kepada penguasaan AI sebagai pemacu masa depan.
“Namun apabila kita bercakap mengenai negara MADANI, teras utamanya ialah nilai dan akhlak. Penguasaan ilmu sememangnya penting, tetapi ia perlu disertai dengan pengukuhan iman, penambahan ilmu pengetahuan dan pembentukan akhlak yang baik.
“Apa ertinya jika kita menimba ilmu seperti orang lain, tetapi tidak mempunyai asas akidah dan akhlak yang kukuh? Cabaran kita bukan sekadar menunjukkan kehebatan ilmu, tetapi mengamalkannya berlandaskan nilai, iman dan akhlak yang mantap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Masjid Al-Sultan Abdullah, Menara Merdeka 118, di sini.
Anwar turut menegaskan bahawa penguasaan ilmu baharu dan teknologi terkini amat penting bagi memastikan umat Islam terus berdaya saing serta mampu memainkan peranan aktif dalam memacu inovasi dan pembangunan masa depan.
“Jika kita tidak menguasai ilmu dan teknologi, kita akan ketinggalan dalam arus kemajuan. Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk berada di belakang, sebaliknya menuntut kita membina tamadun berasaskan ilmu, keyakinan dan kecemerlangan.
“Islam berkembang dan dihormati kerana kekuatan ilmu serta tamadunnya yang memberi pengaruh besar kepada rantau dan dunia. Namun ilmu yang dikuasai mestilah berteraskan akidah yang kukuh serta disertai akhlak yang baik agar kemajuan yang dicapai membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama lebih 1,000 jemaah yang terdiri daripada orang awam, pelajar tahfiz dan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Baca juga:








