PUTRAJAYA: Kejayaan Ekonomi MADANI yang diumumkan bukan sekadar catatan angka dan laporan prestasi tetapi merupakan bukti nyata hasil kerja gigih dan disiplin tinggi seluruh warga perkhidmatan awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri pagi tadi, Anwar menyampaikan amanat penuh makna yang menyentuh soal integriti, tanggungjawab dan keinsafan dalam memikul amanah negara.
“Pagi tadi saat bersama seluruh warga Jabatan Perdana Menteri, saya tegaskan bahawa kejayaan Ekonomi MADANI yang kita umumkan semalam tidak semata catatan angka dan pelaporan tetapi itu merupakan bukti nyata kerja gigih kalian semua, serta kemantapan disiplin seluruh warga perkhidmatan awam.
“Saya tegaskan kita mesti sentiasa mantapkan prestasi kerja serta punyai kewaspadaan yang tinggi untuk mengelak diri serta negara mula dirasuki bibit-bibit kealpaan dan kecuaian.
“Jabatan ini dan amanah yang dipikul merupakan pinjaman kepada kita.
“Justeru, ia merupakan peringatan kepada semua kita, termasuk pada saya sendiri, bahawa segalanya adalah pinjaman dan dalam masa yang sama memperingatkan kita bahawa ia adalah amanah Allah SWT,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar turut mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah bangsa tidak hanya bergantung kepada kemantapan ekonomi tetapi juga kepada keupayaan untuk membina jiwa yang bersih dan suasana kerja yang efektif.
“Saya turut mengingatkan bahawa kekuatan bangsa tidak hanya diukur melalui kekuatan dan kemantapan ekonomi tetapi seberapa mampu kita dalam membersihkan jiwa dan mencipta suasana kerja yang efektif.
“Kita tidak akan kekal andai tiada pencerdasan dan keinsafan dalam diri.
“Seperti yang diungkapkan John Kenneth Galbraith mengenai budaya lekas berpuas hati, ‘the culture of containment’ adalah racun berbisa yang menumpulkan keinginan serta kesungguhan untuk memperbaiki diri dan sistem.
“Maka, setiap lapisan kepemimpinan harus terus berfikir, membetulkan dan menambah baik dan tidak sekadar berbangga dengan pencapaian semalam,” ujarnya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang-sidang berkaitan baru-baru ini, yang menjadi bukti kemampuan negara kecil ini untuk berdiri megah di mata dunia.
“Hari ini Malaysia berdiri tegak dan megah di rantau ini sebagai sebuah negara yang relatifnya kecil tapi berjaya dan mampu mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan pada bulan sudah.
“Kita telah membuktikan bahawa kita mampu menempa sejarah, menganjurkan sidang sebesar itu, selain menonjolkan kecekapannya, keselamatannya, kebersihannya, keseragamannya. Alhamdulillah, saya berbangga setulusnya,” katanya.
Perdana Menteri turut menyeru agar setiap dasar dan tindakan kerajaan berpaksikan nilai kesederhanaan dan tanggungjawab, agar kejayaan yang dikecapi hari ini menjadi warisan bermakna buat generasi akan datang.
“Lantaran itu, dalam setiap dasar dan tindakan kita mesti bertolak dari nilai kesederhanaan dan tanggungjawab agar kejayaan ini kekal menjadi mercu warisan yang bermakna dan membekas,” katanya lagi.








