Kejayaan Madani Bukan Hanya Ukur Ekonomi, Juga Pemerkasaan Budaya – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa gagasan Madani tidak akan berjaya jika hanya bertumpu kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata tanpa pemerkasaan budaya dan nilai ilmu.

Anwar berkata pembangunan sesebuah negara perlu seimbang, merangkumi aspek rohani, budaya dan nilai kemanusiaan.

“Reformasi atau Madani itu tidak akan berjaya hanya dengan pertumbuhan ekonomi tanpa pemerkasaan budaya”

“Pemerkasaan budaya itu dengan kekuatan ilmu, dan kekuatan ilmu itu berpangkalan juga di perusahaan seperti ini,” katanya pada Majlis Peluncuran Buku Melukis Dengan Hati di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar memuji karya kartunis Zunar yang disifatkannya bukan sahaja pintar tetapi mengangkat kefahaman mendalam terhadap isu-isu negara, termasuk perjuangan reformasi, pemisahan kuasa, dan ketelusan dalam pentadbiran.

“Hasil karya Zunar bukan sekadar lukisan, tetapi membawa mesej yang mengajak rakyat berfikir, memahami, dan merenung kembali perjalanan negara” Katanya.

Perdana Menteri turut menekankan keperluan masyarakat memahami cabaran semasa, termasuk pengaruh media sosial yang semakin mencabar nilai dan akhlak.

“Fitnah menjadi budaya, maki hamun dan hasutan diterima sebagai perkara biasa. Ini cabaran besar kepada pendidikan dan masyarakat hari ini,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat