Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN Bukan Milik Individu, Tapi Semangat Berpasukan – PM

PETALING JAYA: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 melabuhkan tirainya dengan kejayaan yang mencerminkan kekuatan semangat berpasukan dan kesatuan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penghargaan beliau, menekankan bahawa kejayaan itu bukan milik individu tetapi hasil usaha kolektif yang mencerminkan wajah sebenar Malaysia MADANI.

“Kejayaan ini bukan milik individu tetapi hasil usaha kolektif yang mencerminkan kekuatan semangat berpasukan.

“Inilah wajah sebenar Malaysia MADANI yakni berpadu tenaga dan bersatu hati demi negara yang kita sanjungi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sidang kemuncak kali ini menyaksikan Malaysia memainkan peranan aktif dalam membentuk pendirian serantau terhadap pelbagai isu global termasuk krisis kemanusiaan dan integrasi ekonomi.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia telah mengetuai perbincangan yang melibatkan pemimpin dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China yang menjadikan sidang ini antara yang paling substantif dalam sejarah.

Perdana Menteri turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus mara menghadapi cabaran dengan tekad yang tidak goyah.

“Kerajaan MADANI akan terus mara, biarpun menongkah arus dan cabaran dengan tekad untuk berkhidmat sepenuh jiwa dan raga.

“Kita tidak memilih untuk berundur, jauh sekali mendabik dada dengan nama dan pangkat semata.

“Teruskan berbakti dengan ikhlas dan rendah hati. Negara ini milik kita bersama.

“Masa depan Malaysia bergantung kepada keutuhan nilai, kesungguhan tekad dan kekuatan azam kita semua,” katanya.

Anda Mungkin Berminat