Kejelasan Dasar, Penglibatan Anak Muda Adalah Kunci Kejayaan Pembangunan – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa kestabilan sistem politik, kejelasan dasar terutama dalam aspek ekonomi serta kecekapan pelaksanaan adalah faktor utama dalam memastikan kejayaan tadbir urus negara.

Berucap semasa Majlis Pelancaran Fasa Pertama Projek Esteel, beliau mengingatkan bahawa kejayaan tidak hanya bergantung pada dasar yang mantap tetapi juga pada penglibatan aktif generasi muda dan anak tempatan termasuk dari Sabah.

“Mereka perlu dilibatkan secara langsung dalam pembangunan agar dasar dan projek yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta dilaksanakan secara berkesan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, kepentingan pendedahan awal serta latihan kemahiran bagi tenaga kerja baharu agar mereka dapat kembali menyumbang sebagai individu yang berkebolehan dan berdaya saing.

Dalam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik, Perdana Menteri berkata, pentadbiran yang telus dan tindakan yang berprinsip menjadi keutamaan.

“Sesungguhnya, kejayaan Malaysia dalam menarik pelaburan serta membina kerjasama strategik tidak datang daripada retorik semata-mata tetapi melalui dasar yang jelas, pentadbiran yang telus serta tindakan yang berprinsip dan konsisten,” ujarnya.

Dengan asas yang kukuh ini, beliau optimis Malaysia dapat membina masa depan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.

Anda Mungkin Berminat