PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran keras kepada Muslim Friendly Watch (MFW) agar menghentikan segera penggunaan label ‘Muslim Choice’ yang didakwa mengelirukan pengguna Islam.
Sekiranya pertubuhan itu terus berdegil, tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Perihal Dagangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, hanya pihak berkuasa yang diiktiraf kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhak mengeluarkan sijil halal di negara ini.
Menurutnya, penggunaan istilah berunsur Islamik bagi tujuan komersial tanpa pengesahan rasmi boleh menimbulkan kekeliruan dan dianggap sebagai satu bentuk penyalahgunaan.
“Sekiranya pihak MFW gagal mematuhi amaran yang diberikan oleh JAKIM, setelah berbincang dengan Menteri Datuk Armizan Mohd Ali, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Perihal Dagangan atas kesalahan penyalahgunaan logo halal atau sebarang bentuk pengiktirafan yang mengelirukan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau turut mengarahkan Ketua Pengarah JAKIM supaya mengeluarkan amaran rasmi kepada MFW agar menghentikan semua bentuk promosi dan penggunaan label ‘Muslim Choice’ dalam sebarang urusan atau bahan pemasaran.
“Hanya JAKIM serta pihak berkuasa yang diiktiraf kerajaan memiliki kuasa mengeluarkan sijil halal di Malaysia.
“Justeru mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan istilah berunsur Islamik bagi tujuan komersial sehingga mengelirukan orang ramai,” katanya.
JAKIM sebelum ini menegaskan bahawa istilah ‘Muslim Choice’ atau penandaan seumpamanya bukanlah satu bentuk perakuan halal yang diiktiraf.
Sebaliknya, ia berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna mengenai status halal sesuatu produk atau premis.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menjelaskan bahawa hanya JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta membenarkan penggunaan logo Halal Malaysia.
Beliau turut mendedahkan bahawa JAKIM pernah menegur MFW pada Ogos 2024 agar menghentikan penggunaan penarafan ‘Muslim Choice’, namun pertubuhan itu didakwa masih meneruskannya hingga kini.








