JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan hari ini menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kejadian gegaran yang kerap berlaku di daerah Segamat sejak seminggu lalu.
Menerusi satu kenyataan media, beliau menzahirkan rasa bimbang terhadap insiden berkenaan dan menggesa agar agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi memahami punca sebenar kejadian.
“Saya mengharapkan agensi yang berkaitan segera membuat kajian secara mendalam dan menyeluruh bagi mengenal pasti mengapa kerap berlaku gegaran di daerah ini dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada mana-mana agensi telah mengaktifkan bilik gerakan sementara bagi menilai kesan kejadian serta mendapatkan maklum balas daripada penduduk yang berada paling hampir dengan lokasi gegaran.
“Data yang diperoleh daripada siasatan awal amat penting untuk dianalisis demi menjamin keselamatan orang awam,” ujarnya.
Aminolhuda turut menggesa agar pemakluman dan penerangan secara bersemuka kepada penduduk yang terjejas diberikan segera, termasuk maklumat keselamatan yang relevan sekiranya kejadian berulang.
“Seperti latihan kebakaran, pendidikan awal tentang langkah-langkah keselamatan ketika berlaku gegaran perlu diberikan secara berterusan,” kata beliau.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Johor menyeru semua pihak berkaitan agar bertindak proaktif demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Baca juga:







