PETALING JAYA: UMNO Bahagian Selayang memperkukuh iltizam untuk membina semula kekuatan parti dari akar umbi, meskipun beroperasi di kawasan yang tidak menjadi tradisi kemenangan parti itu.
Langkah itu dipacu oleh Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang yang dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang turut menzahirkan keyakinan terhadap usaha pembaharuan yang digerakkan di peringkat tempatan.
Dalam hantaran di Facebook beliau, Zahid beekata, perjuangan sebenar terletak pada semangat dan keutuhan pendukung parti.
“Kekuatan bukan terletak pada jumlah kerusi tetapi pada keutuhan jiwa pejuang,” katanya.
Ketua Bahagian UMNO Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican, menerima penghargaan atas kepimpinannya yang tekun dan strategik dalam menerajui barisan kepimpinan bahagian, seiring dengan komitmen memperkukuh organisasi parti menjelang landskap politik baharu.
Turut diberi penghormatan ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Wira Megat Zulkarnain, atas usaha berterusan beliau menyemarakkan kesepaduan dan merangka strategi segar yang berpijak kepada realiti semasa.
Zahid turut menekankan pentingnya parti mengangkat semula keberkesanan naratif politiknya dengan pendekatan inklusif dan dekat dengan denyut nadi rakyat.
“UMNO tidak boleh terus bergantung kepada nostalgia, sebaliknya perlu membina naratif baharu yang mendekati denyut nadi rakyat serta berani menghadapi cabaran politik masa depan,” katanya.
Beliau turut menyeru agar gerakan kebangkitan dimulakan dari Selayang, sebagai simbol perubahan yang progresif dan berprinsip.
“Selayang mesti bangkit bukan sebagai penonton perubahan tetapi sebagai pencetus gelombang kebangkitan,” ujarnya.