Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kekuatan dasar luar Malaysia yang bebas dan tidak terikat dengan mana-mana tekanan-tekanan kuasa besar menjadi simbol bahawa negara kini kekal mencapai erti kemerdekaan.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr. Azmi Hassan, berkata Malaysia sebagai sebuah negara merdeka pada ketika ini mengamalkan dasar luar yang begitu mengikut kepentingan rakyat dan kedaulatan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, mengamalkan dasar luar, mengikut kepentingan kita dan mengikut kedaulatan undang-undang antarabangsa.
“Dalam hal ini, umpamanya kenyataan Wisma Putra mengenai apa yang berlaku di Gaza (Malaysia) adalah antara negara yang paling lantang dan keras menyatakan Israel begitu kuat kejamannya,” katanya.
Ketika dihubungi Malaysia Bangkit, Azmi Hassan menjelaskan negara Malaysia yang kita kenali hari ini tidak akan wujud tanpa perjuangan para pejuang terdahulu.
“Tanpa peristiwa bersejarah tersebut, negara tidak akan mencapai status yang ada pada masa kini,” ujarnya.

Beliau turut menekankan pentingnya pemahaman terhadap erti kemerdekaan, khususnya dalam kalangan anak-anak muda dari sudut perspektif geopolitik dan politik tempatan.
Menyentuh mengenai dasar luar Malaysia, media sebelum ini melaporkan bahawa Malaysia telah merekodkan kepelbagaian pencapaian dasar luar sehingga mendapat pujian daripada negara-negara luar yang lain.
Antaranya ialah, menurut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohammad Hassan mendedahkan Malaysia menerusi Kerajaan Madani berjaya mengemudi ASEAN ke arah memperkukuh perpaduan dalaman, yang mana menjadikan rantau itu kekal menjadi sebuah platform yang neutral, konstruktif dan berprinsip.
“Usaha ini penting dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa termasuk konflik Thailand-Kemboja, isu Laut China Selatan, persaingan kuasa besar serta ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
Dalam pada itu, dengan kekuatan dasar luar Malaysia, negara berjaya berunding dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan kadar tarif dari 25 peratus kepada 19 peratus.
Baca juga: