GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza mengeluarkan rayuan mendesak agar bekalan ubat, bahan guna habis perubatan dan kelengkapan makmal segera ditingkatkan, selepas lebih dua tahun perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin serta sekatan berterusan yang melumpuhkan sistem kesihatan wilayah itu.
Memetik laporan Al Jazeera dalam kenyataan pada Ahad, kementerian memberi amaran bahawa krisis bekalan semakin parah sehingga menjejaskan keupayaan hospital dan klinik menyediakan perkhidmatan diagnostik serta rawatan asas.
Doktor di Gaza sejak sekian lama menegaskan bahawa mereka bergelut menyelamatkan nyawa kerana Israel tidak membenarkan kemasukan bekalan perubatan paling kritikal.
Sepanjang lebih dua tahun konflik, hampir semua hospital dan fasiliti kesihatan di wilayah itu telah diserang dengan sekurang-kurangnya 125 fasiliti kesihatan rosak termasuk 34 hospital.
“Jumlah item yang benar-benar kehabisan stok dalam senarai ubat penting telah mencapai 321, mewakili kekurangan sebanyak 52 peratus,” kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.
“Jumlah item yang benar-benar kehabisan stok dalam senarai bahan guna habis perubatan telah mencapai 710, mewakili kekurangan sebanyak 71 peratus.
“Kadar kekurangan bagi ujian makmal dan bekalan bank darah telah mencapai 59 peratus,” tambahnya.
Menurut kementerian, kekurangan paling kritikal melibatkan perkhidmatan kecemasan termasuk larutan intravena yang menyelamatkan nyawa, antibiotik intravena serta ubat penahan sakit.
Krisis ini dijangka memberi kesan besar kepada pesakit berjumlah 200,000 yang berisiko kehilangan rawatan kecemasan, 100,000 tidak dapat menjalani pembedahan dan 700 pesakit terhalang daripada rawatan rapi.








