Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Dalam usaha memacu pendidikan inklusif di peringkat prasekolah, Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan kelas khas untuk kanak-kanak autisme.
Inisiatif itu disambut baik oleh Pakar Perunding Pediatrik dan Kesihatan Kanak-Kanak, Dr Khanisa Md Khalid yang menyifatkannya sebagai tepat pada masanya.
“Usaha ini sangat baik kerana memberi peluang intervensi awal kepada kanak-kanak autisme terutama dari keluarga berpendapatan rendah,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Menurut beliau, projek rintis telah membuktikan betapa pentingnya tadika khas bagi menyokong perkembangan kanak-kanak autisme.
“Projek rintis di Melaka membuktikan keperluan penubuhan tadika khas untuk kanak-kanak autisme semakin mendesak,” tambahnya.
Tambah beliau, statistik turut menunjukkan peningkatan mendadak kes autisme daripada 6,991 pada tahun 2013 kepada 63,966 kes setakat September 2024.
Katanya, ia menjadi satu tanda bahawa kesedaran serta kemampuan pengesanan dalam masyarakat semakin meningkat.
Dr Khanisa berkata, langkah itu dijangka memberikan kelegaan kepada ibu bapa terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan kurang berkemampuan, di mana akses kepada pusat intervensi swasta adalah terhad.
Sebagai lanjutan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kini merancang untuk menubuhkan sebuah TABIKA KEMAS khas bagi kanak-kanak autisme di setiap negeri bermula tahun hadapan.







