Kelayakan BUDI95 diperluas kepada nelayan dan pemegang lesen baharu

PUTRAJAYA: Lebih 31,000 rakyat kini turut menikmati manfaat subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) selepas kerajaan memperluaskan kelayakan kepada tiga kumpulan baharu melibatkan nelayan, pengguna bot serta pemegang lesen memandu baharu.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), peluasan itu membabitkan lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, serta lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Dengan peluasan ini, mereka kini menjadi sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat yang menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, pada Selasa.

MoF memaklumkan pihaknya kini sedang memuktamadkan data tambahan melibatkan pengguna bot tanpa lesen di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan tiada golongan layak tercicir daripada menerima manfaat berkenaan.

Dalam masa sama, perbincangan turut dijalankan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat pengendali e-hailing bagi menambah siling kelayakan penggunaan bahan api melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa.

“Kerajaan MADANI komited memastikan pelaksanaan subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” tambah kenyataan itu lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat