Kelayakan Piala Asia 2027: 14 tayangan skrin besar Malaysia vs Nepal malam ini

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) mengadakan Tayangan Skrin Besar untuk perlawanan kelayakan akhir Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Nepal, malam ini.

Ini membolehkan penyokong Harimau Malaya menyaksikan aksi pasukan negara di 14 lokasi terpilih di seluruh negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, menerusi satu hantaran di Facebook, mengajak orang ramai untuk berkumpul di lokasi tayangan selepas solat tarawih bagi memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan.

“Bagi yang tidak berkesempatan ke Stadium Sultan Ibrahim, jangan risau—lepas solat tarawih nanti, boleh sama-sama saksikan perlawanan Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di 14 lokasi Tayangan Skrin Besar anjuran JBSNegara.

“Malaysia akan menentang Nepal pada jam 10 malam. Jom turun beramai-ramai dan tunjukkan sokongan buat Harimau Malaya!” katanya.

Tayangan itu dianjurkan bagi memastikan peminat bola sepak dapat merasai kemeriahan perlawanan walaupun tidak berada di stadium.

Antara lokasi tayangan termasuk Dataran Merdeka, Padang Kota Lama di George Town, Stadium Darul Makmur di Kuantan serta beberapa Kompleks Belia dan Sukan negeri.

Perlawanan itu menjadi peluang penting bagi Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027.

Anda Mungkin Berminat