Kelayakan Piala Asia 2027: Harimau Malaya lawan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa perlawanan pertama skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, pada 25 Mac 2025, pukul 10:00 malam.

Menurut kenyataan rasmi FAM, keputusan itu dibuat susulan permohonan Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA) untuk menukar lokasi perlawanan akibat kerja penyelenggaraan Stadium Dasharath di Kathmandu.

“Sebagai gantinya, perlawanan kedua pada 18 November 2025 akan diadakan di Nepal.

“FAM memilih Stadium Sultan Ibrahim selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sebagai simbol permulaan revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan oleh baginda,” kata FAM pada Khamis.

Tambah FAM, yiket perlawanan dijual secara dalam talian di Tickethotline bermula Khamis, 13 Mac 2025, pukul 10:00 pagi dengan harga RM40 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

FAM berharap para penyokong Harimau Malaya hadir beramai-ramai bagi memberikan sokongan kepada skuad negara, meskipun perlawanan berlangsung dalam bulan Ramadan.

Anda Mungkin Berminat