DUSHANBE: Malaysia membuka tirai kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 dengan penuh bergaya selepas menundukkan Palestin 1-0 dalam pertembungan sulung Kumpulan H yang berlangsung di Stadium Central Republican, Tajikistan, semalam.
Perlawanan yang penuh intensiti menyaksikan skuad kendalian Joel Cornelli berdepan tekanan awal termasuk detik cemas apabila Palestin dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-24.
Namun, penjaga gol negara, Nur Azurin Mazlan menjadi wira apabila menepis percubaan lawan untuk memastikan kedudukan kekal seimbang.
Gol kemenangan hadir pada minit ke-85 menerusi penyudah tenang pemain gantian, Farahiyah Ridzuan, hasil hantaran bijak daripada Nur Adrienna Zamzaihiri.
Jaringan tunggal itu sudah cukup untuk mengesahkan tiga mata pertama buat skuad Malayan Tigress.
Kejayaan itu memberi suntikan semangat buat pasukan negara yang bakal berdepan tuan rumah, Tajikistan pada 3 Julai sebelum menutup kempen peringkat kumpulan menentang Korea Utara pada 5 Julai.
Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Australia pada Mac 2026.