Kelayakan Piala Dunia: Palestin Pilih Malaysia Tuan Rumah

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi perlawanan Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia di antara Palestin dan Jordan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September depan.

FAM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, perbincangan pemilihan tempat telah diadakan di antara pihak Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini.

Selepas perbincangan dilakukan, Hamidin menawarkan Malaysia sebagai lokasi pilihan untuk Palestin mengadakan aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

“FAM menyifatkan ia satu penghormatan yang cukup besar buat Malaysia kerana menjadi satu-satunya negara yang diberikan kepercayaan oleh Palestin untuk menjadi gelanggang neutral buat pasukan kebangsaan mereka.

“Pada masa sama, FAM akan memberikan sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada PFA sepanjang pasukan kebangsaan Palestin berada di negara ini,” kata FAM.

Sebelum ini, PFA mencari venue yang sesuai untuk dijadikan gelanggang neutral atau gelanggang sendiri mereka bagi aksi kedua Kumpulan B, Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 susulan konflik peperangan yang berlaku di Gaza sejak Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, FAM akan memberikan sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada PFA sepanjang pasukan kebangsaan Palestin berada di negara ini.

Terdahulu, Palestin melakar sejarah apabila berjaya menempah slot ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia buat kali pertama selepas meraih keputusan seri tanpa jaringan menentang Lubnan di Doha, Qatar pada 7 Jun lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat