BATU PAHAT: Aktiviti memancing oleh sekumpulan pemancing di perairan Parit Hailam, Senggarang bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan maut selepas kelong yang mereka sewa runtuh akibat ribut kuat, awal pagi semalam.
Mangsa,Mohd Faizal Mohd Nor, 45, dilaporkan hilang setelah tercampak ke laut ketika struktur kelong mereka ranap dipukul angin kencang dan ombak besar sekitar pukul 3 pagi.
Dalam kejadian itu, seramai lapan pemancing, berusia antara 31 hingga 52 tahun terlibat.
Menurut Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) segera dilancarkan oleh Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru sejurus menerima laporan kejadian.
“Tujuh pemancing lain termasuk lima rakyat tempatan dan tiga warga Indonesia sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada tiang kelong sebelum diselamatkan Bot PETIR 51 dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat,” katanya.
Zaini berkata, operasi itu melibatkan pelbagai pihak termasuk Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta nelayan tempatan.
Katanya lagi, selepas usaha pencarian sepanjang hari, mayat Mohd Faizal akhirnya ditemukan pada petang Ahad oleh pasukan bomba di bawah runtuhan kelong sebelum dibawa ke pantai dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Maritim Malaysia menasihati komuniti maritim agar lebih berwaspada ketika menjalankan aktiviti di laut berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Sebarang kejadian kecemasan boleh dilaporkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui 999 untuk tindakan segera.