KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta, namun menegaskan tetap menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga penggal pentadbiran ini berakhir.
Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Angang berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti selepas menilai semula hala tuju perjuangan serta agenda Sabah First yang menjadi asas pendirian politik UPKO.
Mesyuarat turut menyokong keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak sehaluan dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam prosiding Semakan Kehakiman mengenai hak 40 peratus hasil Sabah.
“UPKO berpendirian bahawa hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami denyut nadi dan aspirasi rakyat negeri ini berdasarkan semangat serta pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963,” kata Nelson dalam kenyataan itu.
Beliau menambah bahawa UPKO kini terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan yang memperjuangkan agenda Sabah First dan pelaksanaan hak hasil 40 peratus negeri.
Bagaimanapun, UPKO menegaskan dua Ahli Parlimennya, Ewon Benedick (Penampang) dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tuaran) akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar kestabilan Kerajaan Persekutuan dikekalkan.
“Hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mesti berasaskan semangat dan intipati Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.








