KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel yang menahan para aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa, sambil menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman tersebut.
Dalam kenyataan rasmi selepas berhubung dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby, Anwar menyifatkan tindakan Israel itu sebagai bacul dan gila kerana sanggup menghalang misi kemanusiaan yang bertujuan menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza.
“Ternyata rejim Zionis Israel sanggup bertindak bacul dan gila apabila menahan aktivis Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa semata-mata mahu menghentikan misi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang berdepan penderitaan akibat konflik berpanjangan,” katanya.
Beliau turut menitipkan doa dan sokongan kepada keluarga aktivis yang ditahan, sambil berkata, Kerajaan MADANI sedang menggerakkan usaha diplomatik bersama negara-negara sahabat bagi memastikan pembebasan segera.
“Kepada keluarga para aktivis, saya titipkan salam penuh kekuatan. Kerajaan MADANI tidak akan berdiam diri, kita sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan semua yang ditahan dibebaskan dengan segera,” ujarnya.
Anwar berkata, insiden itu adalah saat yang menguji nurani manusia, menyeru rakyat Malaysia untuk terus berdoa agar segala urusan dipermudah dan para aktivis dilindungi daripada sebarang malapetaka.








