UDON THANI: Sebuah keluarga berdepan dengan situasi cemas, apabila haiwan peliharaan mereka bertindak membawa pulang sebuah bom dalam kejadian pada 2 Januari lalu, lapor South China Morning Post.
Lebih mengejutkan, bom berkenaan kemudian dibawa oleh kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dalam kejadian di sebuah rumah di wilayah dekat timur laut Thailand.
Bapa kanak-kanak itu, Sarjan Mejar Jittakorn Talangit berkata, anjing peliharaan mereka, Latte pada mulanya membawa masuk bahan letupan itu ke dalam sebuah taman di kediaman mereka.
Talangit berkata, Latte yang berusia 9 tahun itu dipelihara untuk menjaga rumah dan bermain dengan anaknya.
Menurutnya lagi, anjing itu gemar bermain dengan objek bulat dan sentiasa membawa bola rawak pulang ke rumah.
Menyedari anaknya membawa bahan letupan itu, Talangit segera memasukkannya ke dalam sebuah kotak yang disumbat rumput kering dan menutupnya dengan tayar getah sebagai langkah keselamatan.
Dalam pada itu, pasukan polis dan pemusnah bom tiba di lokasi kejadian untuk meredakan keadaan.
Bom bersaiz sebesar penumbuk yang dibalut pita hitam itu dihasilkan oleh golongan remaja bagi menyambut perayaan dan upacara keagamaan.
Difahamkan, mereka terpaksa meninggalkan bahan letupan itu di tepi jalan berhampiran lokasi serbuan, berikutan khuatir ditangkap dan diambil tindakan.
Meskipun letupan bom buatan tangan itu tidak sekuat bom sebenar, namun ia masih boleh membunuh atau melumpuhkan seseorang.
Baca juga: