KLANG: Keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, merancang menuntut pampasan lebih RM1 juta demi menuntut keadilan untuk isteri dan tiga anak mereka yang kehilangan tempat bergantung dan kasih sayang seorang bapa.
Peguam keluarga, Mohd. Faizi Che Abu, berkata, jumlah sebenar pampasan akan ditentukan berdasarkan pengiraan gaji, sumbangan arwah dan tanggungan keluarga.
Sementara itu, balu Amirul pula, Nor Nadia Abdul Majid, 32 masih diselubungi kesedihan berharap individu yang bertanggungjawab terhadap kematian suaminya dikenakan hukuman setimpal.
Beliau hadir ke mahkamah dengan diiringi peguam, Mohd Faizi Che Abu, yang dijangka memohon untuk bertindak sebagai peguam pemerhati dalam prosiding pendakwaan terhadap tertuduh.
Berpakaian jubah hitam, Nor Nadia kelihatan sugul ketika berada di galeri awam sepanjang prosiding berlangsung.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Ahad lalu, mangsa maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dikenali sebagai R Saktygaanapathy. Kenderaan itu dipercayai dipandu laju dan memasuki laluan bertentangan dari arah Jalan Raya Barat menuju ke pusat bandar Klang.
Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak sebelum melambung ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan, Allahyarham bekerja di sebuah gudang pada waktu siang dan sebagai penghantar makanan pada waktu malam bagi menyara keluarga.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri serta tiga anak kecil, masing-masing berusia sembilan, tujuh dan dua tahun.
Baca juga:








