Keluarga Penjual Sarapan Terima Sumbangan Ziarah MADANI

KUANTAN: Di sebalik kesibukan menyediakan sarapan setiap pagi, Mohd Zaki terus tabah mengharungi kehidupan demi memastikan kelangsungan hidup isteri tercinta dan anak kecil mereka.

Beliau berniaga kecil-kecilan di hadapan rumahnya, dalam keadaan serba sederhana dan penuh kesederhanaan.

Namun, cabaran kehidupan keluarga ini jauh lebih berat daripada yang terlihat apabila isterinya menghidap penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE), manakala rumah yang menjadi tempat berteduh mereka kini kian uzur di mana bumbung bocor, lantai pecah serta dinding yang merekah.

Prihatin dengan kesusahan yang dihadapi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi program Ziarah MADANI telah mengutus wakil beliau, Setiausaha Politik, Datuk Ahmad Farhan Fauzi bagi menyampaikan sumbangan serta meneliti bentuk bantuan segera yang boleh disalurkan.

“Dalam semangat Ziarah MADANI, saya hadir mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan serta meneliti bentuk bantuan yang wajar disegerakan agar keluarga ini dapat kembali hidup dengan lebih aman dan selesa,” kata Ahmad Farhan dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, kisah perjuangan Zaki dan keluarga tidak hanya mencerminkan ketabahan, malah menjadi simbol kekuatan rakyat marhaen yang terus berdiri walau dalam himpitan cabaran.

“Di sebalik gerai sarapan itu, ada sebuah kisah perjuangan yang tidak pernah diketahui ramai.

“Dan di sebalik sumbangan ini, tersemat doa agar mereka tidak lagi berjuang sendirian,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat