Keluasan tanah rizab Melayu di semenanjung meningkat 4.95 juta hektar pada 2024

KUALA LUMPUR: Keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Semenanjung Malaysia meningkat kepada 4.95 juta hektar pada 2024, berbanding 4.82 juta hektar pada 2020, kata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Menurut kementerian itu, peningkatan bersih seluas 135,063.46 hektar direkodkan dalam tempoh lima tahun tersebut. Peningkatan ini tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka yang tiada Enakmen Rizab Melayu (ERM), kata NRES dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.

Jawapan itu diberikan kepada Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang meminta pecahan keluasan TRM mengikut negeri serta langkah kerajaan memastikan pemeliharaan dan perlindungan status tanah berkenaan.

Berdasarkan data pihak berkuasa negeri, Kelantan mencatat keluasan TRM tertinggi iaitu 1.36 juta hektar, diikuti Perak (953,212.43 hektar), Kedah (809,142.22 hektar), Johor (561,802.60 hektar) dan Pahang (444,074.90 hektar).

Negeri Sembilan pula mempunyai 224,483.22 hektar, Selangor (164,743.96 hektar), Perlis (33,554.48 hektar), Kuala Lumpur (1,004.00 hektar) dan Terengganu dengan 2,378.89 hektar. TRM keseluruhan di Terengganu, termasuk tanah pegangan Melayu, adalah 401,129 hektar.

Menurut NRES, pengurusan dan perlindungan TRM tertakluk kepada beberapa kerangka undang-undang, termasuk Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan perlindungan khas kepada TRM serta keperluan penggantian tanah setara sekiranya berlaku pembatalan.

Selain itu, undang-undang negeri melalui ERM menetapkan peruntukan berkaitan pengisytiharan, pembatalan, sekatan pemilikan dan larangan pegangan oleh bukan Melayu. Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 828) pula mengawal pentadbiran tanah secara am, termasuk pendaftaran hak milik, kelulusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) dan penyelarasan dasar serta pengumpulan data TRM di peringkat Persekutuan.

Anda Mungkin Berminat