Kelulusan peranti rokok elektronik bawah tanggungjawab MITI – KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bertanggungjawab meluluskan lesen pengilang secara interim kepada syarikat yang mengeluarkan peranti rokok elektronik mengandungi nikotin.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lesen itu dikeluarkan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975, serta diselia oleh pihak berkuasa tempatan mengikut undang-undang kecil perlesenan.

Namun, aktiviti pengimportan, pengilangan dan pengedaran cecair rokok elektronik dalam pasaran tempatan tertakluk sepenuhnya kepada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Di bawah Akta 852, cecair rokok elektronik ditakrif sebagai bahan merokok, termasuk campuran seperti nikotin, propylene glycol, glycerol dan triethylene glycol, yang dibenarkan dalam pasaran tetapi dikawal ketat.

Selain KKM, beberapa agensi lain turut terlibat dalam kawalan produk ini, antaranya:

  • Jabatan Kastam Diraja Malaysia – kawalan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008.
  • SIRIM – ujian piawaian keselamatan peranti.
  • KPDN – penguatkuasaan piawaian melalui Perintah Perihal Dagangan Peranti Rokok Elektronik 2022.

Sebarang keputusan berkaitan pengeluaran, import atau edaran produk rokok elektronik dibuat secara kolektif oleh semua agensi terbabit.

KKM menegaskan ia komited memastikan penguatkuasaan dan kawalan ketat terhadap produk merokok, termasuk pemantauan kandungan dan emisi, demi melindungi kesihatan awam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat