Kem Rejimen 504 Askar Wataniah Bukit Keteri, Perlis jadi lokasi baharu PLKN 3.0

PETALING JAYA: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), memaklumkan bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bagi Siri 3 Tahun 2026 (Siri 3/2026) akan berlangsung mulai 11 Julai hingga 24 Ogos 2026, selama 45 hari.

Menurut JLKN, berikutan keperluan dan ketersediaan fasiliti latihan, satu lokasi baharu akan mula beroperasi pada Siri 3/2026 iaitu di Rejimen 504 Askar Wataniah (AW), Kem Bukit Keteri, Perlis.

PLKN 3.0 kini dijalankan di tiga lokasi utamaKem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur, Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang, dan Kem Bukit Keteri di Perlis.

“Bakal pelatih yang lahir pada tahun 2008 boleh membuat semakan melalui Sistem e PLKN 3.0 mulai 11 Mei 2026, jam 3.00 petang di pautan: https://plkn.mod.gov.my/pelatih/semakan/form.

“Para pelatih yang terpilih dikehendaki mengesahkan kehadiran mereka selewat-lewatnya pada 19 Jun 2026,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

JLKN turut memberitahu pada fasa pertama pengoperasian, Kem Bukit Keteri akan menempatkan 120 pelatih wanita.

Kem itu dijangka siap sepenuhnya tahun ini dan mampu menampung hampir 500 pelatih pada satu-satu masa.

Ujarnya, dari sudut kemudahan di kem tersebut ianya dibangunkan dengan konsep moden, termasuk blok penginapan, kemudahan sokongan, infrastruktur asas, fasiliti ibadah serta kemudahan latihan yang lebih selesa dan kondusif.

“Pembangunan ini sejajar dengan usaha memperkasakan PLKN 3.0 sebagai platform pembangunan jati diri, patriotisme, dan pembinaan karakter belia Malaysia, serta dijangka menarik lebih ramai golongan muda menyertai program ini pada siri akan datang,” jelasnya.

Tegasnya, kehadiran buat para pelatih yang terpilih adalah diwajibkan.

Ini kerana, kegagalan melapor diri tanpa alasan munasabah boleh dianggap ingkar arahan dan tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara.

“Sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Unit Pelatih, Sektor Latihan, JLKN di talian 03-4013 (Sambungan: 3612 / 3613 / 3614 / 3604 / 3603 / 3626) atau melayari laman web rasmi: https://jlkn.mod.gov.my,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat