Kem Ulama PAS Akan Terus Dominasi Parti, Supaya Tidak Lari Perjuangan – Penganalisis

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Pemilihan pusat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang bakal berlangsung dijangka menyaksikan persaingan antara dua kelompok utama dalam parti, iaitu kem ulama dan kem profesional menurut penganalisis politik dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan.

Beliau berkata, perbezaan antara kedua-dua kem itu bukan semata-mata berkaitan pendirian terhadap Kerajaan Perpaduan tetapi lebih kepada pendekatan kepimpinan dan hala tuju perjuangan parti.

“Dua kem yang wujud di dalam PAS. Memang ketara ada dua kem tapi lebih menjurus kepada bukan kem yang menyokong Kerajaan Perpaduan ataupun tidak.

“Tapi lebih menjurus kepada kem ulama melawan kem profesional,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Menurutnya, golongan profesional lebih bersikap terbuka dalam menjalin hubungan dengan parti lain termasuk dengan Kerajaan Perpaduan.

“Dan kebanyakan mereka yang berada dalam golongan kem profesional ini, mereka lebih terbuka.

“Terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti lain termasuk dengan Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, kem ulama sejak awal telah menekankan kepentingan memastikan jawatan tertinggi PAS dikekalkan dalam kalangan ulama bagi menjamin kesinambungan asas perjuangan parti.

“Tapi kem ulama daripada awal lagi telah dikatakan dengan naratif mereka seharusnya kekal jawatan tertinggi dalam PAS itu kepada golongan ulama supaya tidak lari daripada perjuangan parti PAS itu yang sebenarnya,” jelasnya.

Beliau turut mengakui bahawa golongan profesional tetap memiliki pengaruh dalam parti meskipun PAS pernah mengalami perpecahan sehingga melahirkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Tapi hakikatnya golongan profesional ini juga mungkin mendapat tempat dan sebab itu juga di mana berpecahnya PAS dengan wujudnya parti AMANAH sekarang ini kerana golongan profesional yang pada ketika itu dikatakan terbuka dengan kerjasama dengan parti-parti lain ditekan dalam PAS, sukar untuk mereka naik dalam kepimpinan tertinggi PAS,” katanya.

Beliau berkata, walaupun AMANAH telah terbentuk sebagai wadah baharu bagi golongan profesional, PAS masih mengekalkan kedua-dua kem yang terus memainkan peranan dalam menentukan hala tuju parti.

“Kem ulama dan kem profesional yang dianggap profesional ini lebih terbuka dalam pemikiran mereka, di mana ulama itu berpegang teguh kepada PAS perlu kekal kepada ulama kerana demi untuk mereka mengekalkan kuasa mereka dalam tampuk kepimpinan PAS,” tambahnya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Perlembagaan PAS menetapkan pemilihan jawatan parti dilakukan setiap dua tahun sekali di semua peringkat, termasuk di Pusat, Dewan-dewan Pusat, Negeri, Kawasan, Jawatankuasa Kerja Kawasan dan Cawangan.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad turut berkata, sejak penubuhan PAS pada tahun 1951, pemilihan parti berjalan sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi tanpa mengira sama ada tahun pilihan raya atau sebarang perkembangan lain.

Anda Mungkin Berminat