Dua buah treler yang membawa muatan tayar dan bahan kimia terkawal terbabit dalam kemalangan di kilometer (KM) 233.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, Kuala Kangsar pada Khamis.
Susulan kemalangan itu menyebabkan semua lorong arah utara terhalang dan trafik dilencongkan ke Plaza Tol Kuala Kangsar.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 9.05 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar kemudiannya digerakkan ke lokasi.
“Kemalangan jalan raya melibatkan dua buah treler. Bagaimanapun tiada mangsa yang tersepit dan cedera.
“Komander operasi kemudian membuat size up dan memantau kawasan kejadian supaya selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi dengan kekuatan 10 anggota itu diketuai PBK II Suhairol Fahmi Ishak dan tamat pada pukul 10.34 pagi.
Sementara itu, PLUS Malaysia dalam laman Facebook memberitahu status terkini ke utara masih dilencongkan keluar ke Plaza Tol Kuala Kangsar.
Baca juga: