IMPIAN beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk menjulang kejuaraan All England Open Badminton Championships 2026 tidak kesampaian selepas tewas di pentas akhir, sekali gus memanjangkan kemarau 19 tahun Malaysia dalam acara beregu lelaki kejohanan berprestij itu.
Pada aksi final yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, Birmingham pada Ahad, pasangan nombor dua dunia itu tewas kepada juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae dengan keputusan 21-18, 12-21, 21-19.
Aaron-Wooi Yik memulakan perlawanan dengan baik apabila memenangi set pertama 21-18. Namun pasangan Korea Selatan yang juga beregu nombor satu dunia bangkit mempamerkan aksi agresif untuk menguasai set kedua 21-12.
Momentum itu diteruskan pada set penentuan apabila Won Ho-Seung Jae berjaya menamatkan perlawanan dengan kemenangan tipis 21-19 selepas pertarungan sengit selama 63 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik sekali lagi terlepas peluang merangkul gelaran sulung di kejohanan tersebut selepas turut tewas di pentas akhir edisi 2019 dan 2024.
Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara kejohanan bertaraf Super 1000 itu adalah pada 2007 menerusi gandingan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang menewaskan pasangan China, Cai Yun dan Fu Haifeng.
Sebagai juara, Won Ho-Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai AS$107,300 (RM423,466), manakala Aaron-Wooi Yik meraih AS$50,750 (RM200,288) selaku naib juara.
Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah turut terkandas selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na dan Lee So Hee pada aksi separuh akhir kejohanan yang sama pada Sabtu.
Pasangan nombor dua dunia itu tewas straight set 17-21, 18-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam di Utilita Arena Birmingham.
Baca juga:








