ARAU: Susulan keadaan kemarau dan cuaca panas yang semakin meruncing, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya solat sunat Istisqa’ diadakan bagi memohon hujan.
Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), solat berkenaan akan dilaksanakan pada Khamis ini, jam 8 pagi di Dataran Istiadat, Istana Arau.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs menyeru seluruh rakyat agar bersama-sama menunaikan solat tersebut dengan penuh keinsafan dan harapan agar ujian kemarau dapat diringankan.
“Solat ini adalah usaha memohon rahmat Allah SWT agar diturunkan hujan serta meredakan kesukaran yang sedang dihadapi rakyat,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai yang hadir disarankan mematuhi garis panduan ditetapkan termasuk membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk dari rumah serta memakai pelitup muka sekiranya kurang sihat.
Dalam pada itu, semua masjid di seluruh Perlis turut diarahkan membaca doa Istisqa’ semasa khutbah Jumaat bermula 27 Mac ini, selaras dengan ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
Baginda turut mengingatkan rakyat agar menjadikan situasi kemarau sebagai ruang muhasabah diri dengan meningkatkan ketakwaan, menjauhi maksiat serta memperbanyakkan amalan seperti berpuasa dan bersedekah.
“Marilah kita berhimpun dengan hati yang insaf, memohon keampunan dan rahmat agar dikurniakan hujan yang membawa keberkatan, bukan kemudaratan,” titah baginda.
Perlis kini berdepan cuaca panas berpanjangan yang memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk serta sumber air di negeri itu.
Baca juga:








