PUTRAJAYA: Kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr Tay Tien Yaa pada Ogos tahun lalu disebabkan oleh tekanan beban kerja dan bukan kerana dibuli atau dizalimi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Tan Sri Borhan Dollah selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas yang menyiasat kematian Dr Tay.
Menurut Borhan, hasil siasatan mendapati tugas-tugas yang dilakukan oleh mendiang adalah sesuai dengan skop kerjanya sebagai Timbalan Ketua Jabatan 1.
“Mendiang dibebani kerja dan tugasan di luar skop kerjanya. Kita dapati bahawa tugasan yang dilakukan mendiang adalah seperti mana ditetapkan dalam senarai skop tugasan.
“Tidak ada satu pun yang satu-satunya kita dapati di luar skop atau luar bidang tugas beliau,” katanya.
Tambah beliau, tiada bukti menunjukkan mendiang diarah melakukan tugas di luar bidang kerjanya atau dibuli oleh Ketua Jabatan Patologi.
Media pada Ogos tahun lepas melaporkan tentang insiden seorang pakar di hospital itu ditemukan mati di kediamannya di Lahad Datu, dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.
Borhan bekata, jawatankuasa itu juga tidak menemui sebarang bukti bahawa Dr Tay dijadikan tempat rujukan bagi pegawai perubatan di luar bidang kerjanya.
Katanya, siasatan menunjukkan hubungan kerja di jabatan itu profesional dan tidak menindas.
“Tidak timbul perkara itu dan mereka bekerja secara professional, ini dapat dibuktikan daripada temu bual rakan yang lain, pegawai bawahan dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, mendiang tidak pernah mengajukan permohonan untuk dikekalkan bertugas di Semenanjung dan tidak ada sebarang rayuan seperti didakwa dan Jabatan Sumber Manusia turut mengesahkan tiada permohonan seperti itu.








