KUALA LUMPUR: Polis mendapati pengambilan pil dadah jenis ecstasy menjadi punca empat mangsa meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway di sini, pada ambang tahun baharu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata selain empat mangsa itu, terdapat tiga lagi mangsa lain yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Ketujuh-tujuh mangsa termasuk yang meninggal dunia juga didapati hadir secara berasingan dan tidak mengenali antara satu sama lain.
“Semua mangsa ini didapati hadir secara berasingan bersama kawan-kawan dan ahli keluarga masing-masing.
“Selain empat mangsa yang sudah meninggal dunia, dua lagi masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Hussein berkata, pihaknya mengesahkan menerima enam laporan polis daripada PPUM dan HKL berhubung penerimaan pesakit yang hadir ke konsert berkenaan.
“Kedua-dua hospital ini menerima tujuh pesakit dan semua mereka menunjukkan simptom yang sama.
“Pihak polis membuka empat kertas siasatan kematian mengejut lanjutan kematian ini untuk mengenal pasti sebarang unsur jenayah atau keracunan.
“Sehingga kini sebanyak enam percakapan saksi dirakam selain beberapa pihak lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan termasuklah pihak penganjur konsert dan rakan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan analisis toksikologi untuk mengesahkan pengambilan dadah berkenaan termasuk punca kematian.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di talian 03-78627222 atau tampil ke balai polis berhampiran.
Baca juga: