LUMUT: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan penuh bermakna bersama kepimpinan negeri dan anggota PKR Perak dalam satu program parti yang berlangsung di Lumut pada Ahad.
Majlis yang disambut dengan kehadiran luar biasa itu dilihat menyemarakkan lagi semangat kesatuan dalam kalangan anggota parti.
Anwar menyifatkan pertemuan tersebut sebagai manifestasi budaya PKR yang meraikan perbezaan demi pengukuhan perjuangan bersama.
“Persaingan adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi dalam setiap sistem yang demokratik— PKR tidak terkecuali.
“Dalam sebuah keluarga besar seperti PKR, pertembungan dan percanggahan idea serta pandangan harus diraikan kerana di situ lahirnya kekuatan gagasan, kematangan fikrah dan kemurnian idealisme,” ujarnya.
Beliau turut menggesa agar kepimpinan parti terus mengamalkan pendekatan inklusif dan merapatkan saf selepas berakhirnya pemilihan.
“Yang menang mesti memulakan langkah untuk merangkul semula yang tewas. Kembalikan silaturahmi dan perkuatkan sendi perjuangan.
“Ini budaya PKR, ‘engage’ dan dekatkan semula, bukan terus mencemuh,” katanya.
Anwar berkata, budaya ‘engagement’ bukan sekadar simbol perdamaian tetapi sebagai ruang muhasabah untuk menyusun semula kekuatan dan mengukuhkan semangat perjuangan demi rakyat dan negara.
Mengambil inspirasi dari sejarah, beliau turut memetik kata-kata Abraham Lincoln selepas Perang Saudara Amerika.
“With malice toward none, with charity for all… let us strive on to finish the work we are in…” ujarnya.
Selepas Melaka minggu lalu, Perak menjadi negeri kedua yang dikunjungi dalam siri pertemuan pasca pemilihan.
Anwar menegaskan tekad untuk memastikan PKR terus mara sebagai satu keluarga besar, berteraskan nilai kasih sayang dan kesatuan.