KUALA LUMPUR: Kemboja dan Thailand telah mencapai persetujuan penting untuk melaksanakan gencatan senjata menyeluruh di sepanjang sempadan, meliputi semua jenis senjata dan melarang sebarang serangan terhadap orang awam.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC) yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat, kedua-dua negara bersetuju untuk tidak melakukan sebarang tembakan tidak diprovokasi terhadap kedudukan atau anggota tentera masing-masing di semua kawasan sempadan.
Mereka turut bersepakat untuk mengekalkan kedudukan pasukan seperti mana pada 28 Julai 2025 pukul 12 tengah malam serta tidak melakukan sebarang pergerakan atau rondaan yang menghampiri kedudukan pihak lawan.
“Kedua-dua negara bersetuju untuk tidak menambah bilangan pasukan di sepanjang sempadan kerana sebarang pengukuhan akan memburukkan keadaan dan menjejaskan usaha penyelesaian jangka panjang,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa sebarang tindakan provokatif termasuk pencerobohan ruang udara, pembinaan infrastruktur ketenteraan atau penambahan kubu baharu adalah dilarang sama sekali.
Selain itu, Kemboja dan Thailand turut menzahirkan komitmen untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk dalam aspek layanan terhadap tahanan, penyediaan bekalan makanan dan rawatan perubatan.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, menyifatkan kejayaan mesyuarat itu sebagai hasil penting daripada pertemuannya bersama Perdana Menteri Thailand di Putrajaya pada 28 Julai lalu.
Pertemuan tersebut turut dianjurkan bersama oleh Malaysia dan Amerika Syarikat serta disertai oleh Republik Rakyat China.
Katanya, bagi keperluan tertentu, kedua-dua pihak turut bersetuju bahawa Mesyuarat Luar Biasa GBC boleh dilaksanakan dalam format yang sama seperti kali ini.
Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua negara turut bersetuju untuk mempercepatkan penyediaan Terma Rujukan (TOR) bagi Pasukan Pemerhati ASEAN yang akan berperanan sebagai mekanisme pemantauan pelaksanaan gencatan senjata.
“Sebagai langkah awal, kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Pemerhati Interim yang diketuai oleh Bahagian Ketenteraan Malaysia untuk melaksanakan pemantauan serta menyelaras pembentukan Pasukan Pemerhati ASEAN,” katanya.








