Kemenangan politik tidak wajar atasi ibadah – IKIM

PETALING JAYA: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan bahawa mengutamakan kemenangan politik berbanding ibadah haji dan umrah adalah tindakan yang tidak wajar dan boleh menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam.

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, menjelaskan bahawa haji sebagai rukun Islam kelima adalah kewajipan bagi setiap muslim yang berkemampuan seperti yang termaktub dalam al-Quran, Surah Ali Imran, ayat 97.

Umrah pula, katanya, meskipun ibadah sunat yang amat digalakkan, membawa ganjaran spiritual besar seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW.

“Satu umrah ke satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Pemimpin politik selaku individu yang menjadi teladan dalam masyarakat seharusnya menunjukkan sikap seimbang antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan akhirat.

Mengutamakan kemenangan politik sehingga mengabaikan atau merendahkan nilai ibadah seperti haji dan umrah boleh mencerminkan kekeliruan dalam memahami peranan agama dalam kehidupan,” katanya.

Beliau turut berkata, penangguhan ibadah haji atas faktor kesihatan dan keselamatan adalah rukhshah yang dibenarkan oleh syarak tetapi tidak boleh disamakan dengan penangguhan semata-mata demi mengundi dalam pilihan raya.

Islam, jelas beliau, mengajar bahawa kejayaan duniawi tidak boleh mengatasi kewajipan beribadah kepada Allah SWT, kerana kehidupan dunia adalah sementara berbanding akhirat yang kekal.

“IKIM menyeru semua pihak khususnya pemimpin politik agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terutamanya yang melibatkan hal-hal ibadah.

“Sebaliknya, mereka digesa mempromosikan nilai-nilai murni Islam termasuk mengutamakan ibadah wajib dan sunat serta melaksanakan tanggungjawab politik dengan penuh integriti dan keadilan,” tambahnya.

IKIM juga mengajak masyarakat untuk terus mendalami ilmu agama agar dapat menyeimbangkan tanggungjawab duniawi dengan keutamaan spiritual.

Anda Mungkin Berminat