Kementerian diminta kurangkan perbelanjaan susulan krisis Asia Barat

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan Malaysia mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan mengurangkan perbelanjaan operasi susulan kesan konflik geopolitik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada ekonomi negara.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, berkata Pejabat Belanjawan Negara telah diminta menyemak semula baki anggaran perbelanjaan di bawah Belanjawan 2026.

Menurut beliau, Belanjawan 2026 hanya memperuntukkan RM15 bilion bagi subsidi, jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini, meskipun subsidi bahan api sahaja mencecah RM38 bilion pada 2023.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan subsidi Kerajaan Persekutuan kini diunjurkan meningkat kepada RM58.4 bilion bagi tahun ini berikutan kesan rantaian daripada konflik di Asia Barat, termasuk perang melibatkan Iran serta krisis tenaga global.

Sehubungan itu, semua kementerian, jabatan dan agensi diminta meneliti semula perbelanjaan masing-masing bagi baki tahun ini sebagai langkah penjimatan.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pembekuan gaji dan elaun bagi jawatan kosong, pengurangan 10 peratus perbelanjaan perkhidmatan, bekalan dan aset, serta pemotongan 20 peratus bajet melibatkan badan berkanun Persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dijamin kerajaan.

Semua pihak terlibat diberi tempoh sehingga 15 Mei untuk mengemukakan semakan bajet kepada Pejabat Belanjawan Negara.

Dalam arahan itu, beliau turut menjelaskan bahawa situasi geopolitik semasa, termasuk sekatan di Selat Hormuz, telah menyebabkan lonjakan harga minyak mentah dunia, sekali gus meningkatkan kos logistik dan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.

Kementerian Kewangan dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat