PARLIMEN | Kementerian Komunikasi menegaskan komitmennya untuk mempertahankan imej Kerajaan Madani daripada tohmahan dan penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap tata kelola negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelbagai inisiatif strategik telah digerakkan bagi memperkukuh penyebaran maklumat sahih serta meningkatkan literasi digital rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah yang berleluasa di media sosial.
Menurut beliau, antara usaha utama ialah pelaksanaan JAPEN Digital di bawah Jabatan Penerangan (JAPEN), yang berfungsi secara konsisten dalam menyalurkan maklumat terperinci mengenai dasar, pencapaian dan kejayaan kerajaan.
“Jadi sebagai contoh, di bawah JAPEN, kami ada JAPEN Digital, inisiatif JAPEN Digital, di mana JAPEN secara konsisten dan strategi menyebabkan maklumat terperinci mengenai inisiatif dan juga kejayaan kerajaan serta fakta-fakta yang menangkis sebarang maklumat palsu ataupun fitnah.
“Ianya bagi membantu orang ramai untuk mengenali ataupun membezakan mana satu maklumat yang boleh dipercayai ataupun mana satu berita yang nak semak sama ada berita itu adalah sahih atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohamad, yang membangkitkan isu kawalan media dan persepsi negatif terhadap pemimpin serta Kerajaan di Dewan Rakyat, Rabu.
Teo turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperkenalkan Artificial Intelligence Fact Check Assistant (AIFA), sebuah aplikasi semakan fakta berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan orang ramai menyemak kesahihan maklumat menerusi WhatsApp.
Sejak dilancarkan pada 28 Januari lalu, AIFA menerima purata 760 mesej semakan setiap hari, menandakan peningkatan kesedaran rakyat terhadap kepentingan menilai kesahihan berita.
“Jadi ini menunjukkan bahawa lebih ramai warga Malaysia yang mengetahui tentanglah kewujudan AIFA dan saya juga harap bahawa AIFA boleh menjadi satu alat yang berkesan untuk membantu rakyat Malaysia untuk membezakan berita yang palsu dan sahih,” katanya.








