Kementerian Perpaduan, Hal Ehwal Agama bantah sebar agama bukan Islam kepada umat Islam

PETALING JAYA: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, telah mengutarakan bantahan keras terhadap tindakan individu warga asing yang didakwa menyebarkan agama bukan Islam kepada umat Islam di Malaysia.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, kedua-dua kementerian menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.

Menurut mereka, tindakan tersebut telah menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan, keharmonian dan perpaduan antara pelbagai komuniti di negara ini.

“Perbuatan warga asing tersebut adalah satu pelanggaran terhadap Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan Fasal (4) yang menetapkan bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan menyebarkan atau mengembangkan sebarang doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam kepada penganut agama Islam.

“Malaysia, yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan agama, sangat mementingkan sikap saling menghormati dan kehidupan bersama dalam suasana aman dan damai.

“Oleh itu, sebarang aktiviti yang mengancam ketenteraman awam serta kesejahteraan bersama mesti dihentikan serta-merta,” ujar kenyataan bersama itu pada hari Selasa.

Sebagai tambahan, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan mempergiatkan aktiviti pemantauan melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara terutama di kawasan Lembah Klang.

Langkah itu adalah untuk memperkukuhkan keselamatan dan keharmonian komuniti di seluruh negara.

Usaha itu juga selari dengan matlamat utama penubuhan Skim Rondaan Sukarela iaitu membantu pihak berkuasa dalam membendung jenayah dan gejala yang berlaku di komuniti setempat.

Kedua-dua kementerian berharap agar kejadian sebegini tidak akan berulang lagi dan tindakan tegas akan diambil demi menjamin kelangsungan perpaduan nasional.

Anda Mungkin Berminat