PETALING JAYA: Malaysia melakar satu lagi pencapaian penting dalam sejarah pembangunan sosioekonomi negara apabila berjaya menoktahkan kemiskinan tegar dengan kadar hanya 0.09 peratus iaitu satu angka yang jauh lebih rendah daripada penanda aras antarabangsa.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang menyatakan bahawa kejayaan itu menepati piawaian global, di mana sasaran miskin tegar dianggap tercapai apabila kadarnya berada dalam julat tiga peratus dan ke bawah.
“Taraf pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat kepada RM9,155 pada tahun 2024 iaitu pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus berbanding tahun 2022.
“Laporan HIES 2024 merekodkan penurunan bagi insiden kemiskinan mutlak kepada 5.1 peratus pada 2024, berbanding 6.2 peratus pada 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya.
Lebih membanggakan katanya, Pekali Gini iaitu indikator utama jurang pendapatan turut mencatat penurunan kepada 0.390, menandakan pengagihan kekayaan yang lebih seimbang dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dalam laporan yang sama, Jabatan Perangkaan Malaysia turut memaklumkan bahawa ekonomi negara terus berkembang dengan kadar pertumbuhan 5.1 peratus pada tahun 2024.
Menurutnya, kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus, manakala inflasi kekal terkawal pada paras 1.8 peratus.
“Jumlah perdagangan antarabangsa negara pula mencecah RM2.9 trilion, sekali gus mencerminkan daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya.
Kerajaan kini kekal komited memperkukuh asas ekonomi negara demi memastikan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran yang berterusan.
Menurut Amir, pencapaian ini bukan titik akhir tetapi batu loncatan untuk memperluas impak kepada seluruh komuniti bandar dan luar bandar.
“Usaha berterusan ini diyakini akan terus memperkukuh ekonomi komuniti di bandar dan luar bandar, seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Kerajaan percaya pencapaian ini akan terus mengukuhkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap daya tahan ekonomi Malaysia,” katanya.








