Kempen Infaq Ramadan bantu asnaf, rakyat Palestin – Siti Nurhaliza

Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan yang mulia, Yayasan Nurjiwa telah melancarkan Kempen Infaq Ramadan bagi mempelawa orang ramai untuk bersama-sama mengimarahkan budaya bersedekah.

Pengasas dan Pengerusi bersama Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza hadir ke majlis pelancaran tersebut turut menyampaikan ucapan berkenaan Kempen Infaq Ramadan yang boleh memberikan kebaikan dengan amalan bersedekah.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang hadir ke majlis pelancaran ini. Marilah kita mengambil peluan untuk menderma pada bulan Ramadan yang dilimpahi banyak kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

“Semoga setiap kebaikan bersedekah akan Allah kurniakan pahala berlipat ganda dan dipermudahkan segala urusan dalam menjayakan kempen ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Yayasan Nurjiwa berhasrat menggandakan jumlah sumbangan pada bulan Ramadan tahun ini dengan mengatur beberapa program khas infaq.

Antara program khusus yang diaturkan adalah seperti bantuan kotak makanan kepada golongan asnaf, menganjurkan majlis iftar, menyediakan juadah berbuka puasa dan moreh di surau serta masjid

Selain mengedarkan Al-Quran dan sejadah, Yayasan Nurjiwa turut membantu membaik pulih kerosakan di masjid dan surau yang telah dikenal pasti bagi memastikan para jemaah beribadah dengan selesa.

Tambahan pula, Yayasan Nurjiwa turut merancang untuk mengadakan edaran bubur lambuk kepada orang ramai serta memberika sumbangan baju raya kepada anak-anak yatim, golongan asnaf serta golongan yang kurang berkemampuan.

Dalam masa yang sama, bantuan khas Gaza merupakan misi yang diteruskan oleh pihak yayasan dan saluran bantuan ke negara yang sedang dilanda perang itu telah dimulakan sejak 11 Oktober 2023 hingga kini.

Kempen tersebut juga diharapkan dapat menampung sumbangan berterusan buat rakyat Palestin yang kini berada di Rafah amat memerlukan pertolongan terdesak terutama makanan.

Secara keseluruhannya, kempen itu merupakan salah satu kesinambungan program yang dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa sebelum ini iaitu Kempen Jihad dan Kempen Tabung Sedekah Subuh.

Yayasan akan meneruskan lima misi bantuan iaitu kebajikan, kemanusiaan, agama, pendidikan dan bantuan khas Palestin.

Sebarang pertanyaan mengenai aktiviti dan sumbangan kepada Yayasan Nurjiwa, sila layari laman sesawang rasmi www.nurjiwafoundation.org.

Sumbangan untuk Kempen Infaq Ramadan boleh disalurkan ke akaun Yayasan Nurjiwa di Maybank – 514486106455.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat