Kempen Internet Selamat (KIS): Perkukuh Literasi Digital Pelajar Sabah – Fahmi

PAPAR: Usaha memperkukuh keselamatan ruang siber dalam kalangan masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja terus diperkasa menerusi pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) yang kini diteruskan di Sabah.

Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil hadir ke program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Mary, Limbahau bagi menyaksikan penglibatan aktif guru-guru dan pelajar dalam sesi interaktif, latihan keselamatan dalam talian serta aktiviti pendidikan jati diri digital.

“Alhamdulillah, pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) diteruskan di Sabah.

“Inisiatif penting ini diterajui dan dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperkukuh keselamatan ruang siber dalam kalangan masyarakat terutamanya kanak-kanak dan remaja.

“Terima kasih guru-guru serta para pelajar SMK St. Mary atas sokongan terhadap kempen ini yang menggabungkan kekuatan masyarakat setempat, institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai agensi kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kempen ini merupakan sebahagian daripada pendekatan ‘whole-of-nation’ di bawah kerangka Malaysia MADANI yang menyatukan pelbagai pihak dalam menyampaikan mesej keselamatan digital secara berkesan.

Menurut MCMC, lebih 1,298 sekolah di Sabah disasarkan untuk menyertai program ini menjelang akhir tahun dengan fokus kepada isu seperti buli siber, eksploitasi seksual, penipuan dalam talian dan perlindungan data peribadi.

“Sama-sama kita perkasakan literasi digital dan wujudkan persekitaran siber yang selamat, positif serta beretika untuk semua,” tambah Fahmi.

Anda Mungkin Berminat