Kempen kirim poskad khas kepada Setiausaha Agung PBB, Anwar harap Palestin akan segera bebas

Demi menuntut keadilan dan membebaskan Palestin daripada cengkaman kekejaman Israel, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjayakan Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menjadi individu pertama menjayakan kempen tersebut, Anwar mengharap rakyat Malaysia mempamerkan tanda sokongan bagi membebaskan rakyat Palestin.

“Poskad khas ini bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia dengan mendesak PBB menerima Palestin sebagai negara anggota dan menuntut keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis segera dihentikan.

“Poskad khas ini akan diserahkan menerusi Wakil Tetap Malaysia ke PBB. Saya berharap suara tulus rakyat Malaysia ini mendapat perhatian serius daripada Guterres.

“Rakyat Malaysia boleh ikut serta dalam Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung PBB dengan membeli poskad ini di semua pejabat pos atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Berhad,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Sementara itu Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan penghantaran pertama poskad khas dibuat melalui Wakil Tetap Malaysia ke PBB dengan harapan untuk mendesak pihak antarabangsa itu dapat segera menghentikan keganasan itu.

“Poskad boleh dibeli di semua pejabat pos pada harga RM2 sekeping (termasuk setem pracetak 90 sen) dan orang ramai juga boleh membuat pembelian secara dalam talian shop.pos.com.my.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat