Kempen politik bukan pentas jatuhkan lawan secara peribadi – Afdlin

PETALING JAYA: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa Datuk Afdlin Shauki menegur segelintir pihak yang menggunakan serangan peribadi dalam kempen politik.

Menurut Afdlin Shauki, kempen politik seharusnya menjadi medan memperkenalkan kekuatan calon dan dasar yang diperjuangkan, bukan pentas untuk menjatuhkan lawan secara peribadi.

“Macam mana boleh guna (serangan) sisi peribadi? Pada saya, itu tak baik. Kita di hujung ni, kita nak bekerjasama, kita nak berkawan lama. Jadi, tak perlulah nak gunakan taktik-taktik sebegitu daripada kedua-dua belah pihak,” tegas beliau.

Afdlin berkata demikian kepada Malaysia Bangkit seusai menghadiri program ‘Temu Rapat Akar Umbi’ bersama Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Aminuddin Shari di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujarnya, suasana semasa kempen pemilihan pusat PKR dilihat semakin sarat dengan naratif negatif serta bersifat peribadi, terutama di media sosial dan pentas ceramah.

Beliau turut menzahirkan sokongannya terhadap Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR buat sesi 2026-2028 kelak.

Kata beliau, Nurul Izzah merupakan seorang tokoh muda yang memiliki kekuatan tersendiri hasil pengalaman hidup yang mencabar sejak usia muda.

“Dia melihat sendiri bapanya dipenjara, membesar dalam suasana yang sangat sukar.

“Tapi dia masih berdiri teguh, membantu gerakan reformasi bersama ibunya dan sahabat-sahabat lain. Itu bukan perkara kecil,” ujarnya.

Tambah Afdlin, sudah tiba masanya untuk memberi ruang kepada pemimpin seperti Nurul Izzah untuk membuktikan kemampuan kepimpinan mereka di dalam parti PKR.

“Saya hormat Datuk Seri Rafizi Ramli, tapi mungkin ini masa yang sesuai untuk kita cuba Nurul Izzah.

“Kita kena tengok bagaimana kualiti kepimpinan dia,” katanya lagi.

Pada kali ini kerusi Timbalan Presiden PKR menjadi rebutan antara penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli dan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita dijadual berlangsung pada 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, Johor dengan pemilihan pimpinan pusat ditetapkan pada 23 Mei.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat