KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah mengecam keras kenyataan dibuat ADUN Perikatan Nasional (PN) Kedah, yang menyebut “orang Sabah kempen dia bagi roti Gardenia ja”, sambil menyifatkannya sebagai penghinaan keterlaluan terhadap rakyat negeri itu.
Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus berkata kenyataan itu bukan sahaja biadab dan tidak mencerminkan akhlak seorang wakil rakyat, malah menzahirkan sikap meremehkan rakyat Sabah yang sentiasa memberikan komitmen besar kepada negara.
“Rakyat Sabah bukan kelompok yang boleh direndah-rendahkan sesuka hati. Mereka bermaruah, berpendidikan dan telah lama menyumbang secara signifikan kepada kemajuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata penghinaan seperti itu membuka ruang kepada stereotaip negatif serta menyinggung perasaan masyarakat Sabah yang berusaha mempertahankan identiti dan kedudukan mereka dalam negara.
“Ucapan sebegini tidak sepatutnya keluar daripada mana-mana pemimpin yang diberi amanah. Ia hanya mencetuskan rasa terhina dan terpinggir.
“AMK Sabah tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana kenyataan yang merendahkan rakyat Sabah.
“Kami berdiri tegas menentang politik yang memperlekehkan mana-mana negeri. Anak muda Sabah harus bangkit dan mempertahankan maruah mereka daripada dijadikan bahan jenaka politik,” katanya lagi.
Menurut beliau, wacana politik Malaysia seharusnya berkembang ke arah lebih matang dan beradab, sejajar aspirasi negara untuk memupuk perpaduan.
“Malaysia memerlukan politik yang menyatukan, membina dan menghormati kepelbagaian wilayah, bukannya politik sempit yang mengundang perpecahan.
“Sepatutnya setiap pemimpin bertanggungjawab menjaga keharmonian antara wilayah, selain memastikan rakyat Sabah diperlakukan setara dengan negeri lain,” ujarnya.
Baca juga:







