Kempen Taat Setia Rukun Negara Cetus Semangat MADANI

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini melancarkan Kempen Taat Setia Rukun Negara sempena sambutan ulang tahun ke-55 pengisytiharan Rukun Negara sebagai usaha memperkukuh perpaduan nasional dan menyemai semula semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kempen itu dirangka untuk meningkatkan penghayatan rakyat terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara serta menggalakkan rakyat terutamanya generasi muda, agar terus berpegang teguh kepada asas pembentukan negara.

Ia juga bertujuan mempertingkat kesedaran masyarakat tentang pentingnya taat setia kepada negara dan menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, KPN akan melaksanakan sebanyak sebelas inisiatif utama bagi menyemarakkan semangat kebangsaan dan memperkukuh perpaduan melalui penghayatan nilai-nilai yang terkandung dalam Rukun Negara.

Antara inisiatif tersebut termasuklah Konvensyen Sekretariat Rukun Negara, Sambutan Anak Merdeka pada 31 Ogos, Program Malaysiaku Merdeka, Jejak Merdeka Gen Z, Pertandingan Pidato Rukun Negara dan Kembara Harmoni Merdeka yang akan digerakkan di seluruh negara.

“Rukun Negara adalah tunjang kepada usaha menjamin kestabilan sosial dan politik serta membina masa depan negara yang mampan dan harmoni,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Rukun Negara mencerminkan komitmen serta aspirasi nasional untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu, adil, saksama, demokratik dan progresif.

Sepanjang kempen ini, rakyat Malaysia yang berada di dalam mahupun luar negara digalakkan untuk turut serta dengan memuat naik video atau gambar berkaitan Rukun Negara ke platform media sosial masing-masing dari sekarang hingga 16 September.

Mereka juga disaran menggunakan tanda pagar #TaatSetiaRukunNegara dan #55TahunRukunNegara sebagai simbol penyertaan dalam kempen tersebut.

KPN berharap kempen ini akan dapat membangkitkan semula rasa cinta kepada negara dalam kalangan rakyat serta mendorong masyarakat Malaysia untuk lebih menghargai, memahami dan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara.

Melalui inisiatif ini juga, kerajaan optimis dapat membentuk masyarakat MADANI yang progresif, inklusif dan berintegriti selaras dengan matlamat pembangunan negara.

Anda Mungkin Berminat