Kemudahan lalu lintas baharu buat kemudahan pengguna jalan raya sekitar Kuala Lumpur

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Azry Akmar Ayob telah mengumumkan pembukaan jalan dua hala di Jalan Sultan Ismail yang bermula di Jalan Raja Chulan hingga ke persimpangan Jalan Bukit Bintang berkuat kuasa Rabu lalu.

Katanya, tindakan tersebut dilakukan sebagai langkah jangka pendek untuk mengatasi kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

Antara perubahan yang dilaksanakan termasuk pengguna jalan raya dari Jalan Sultan Ismail, khususnya dari arah Hotel Concorde yang ingin menuju ke Jalan Imbi dan seterusnya ke Jalan Loke Yew, tidak perlu lagi membelok ke Jalan Raja Chulan dan Jalan Bukit Bintang sebelum ke Jalan Imbi.

“Kini, waktu perjalanan turut dapat dijimatkan sekitar 20 minit dan mengurangkan jarak sebanyak satu kilometer,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Selain itu, kenderaan dari arah Jalan Sultan Ismail (Hotel Concorde) boleh menghala ke Jalan Pudu dengan membelok ke kanan ke Jalan Bukit Bintang dan seterusnya ke Jalan Pudu tanpa perlu melalui laluan yang lebih panjang.

Kenderaan dari Jalan Raja Chulan juga boleh membelok ke kanan ke Jalan Sultan Ismail, sama ada untuk ke Jalan Imbi atau ke Jalan Bukit Bintang manakala pemandu kenderaan dari Jalan Sultan Ismail (arah Hotel Concorde) juga boleh membelok ke kanan untuk ke Jalan Raja Chulan.

Dalam pada itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan memantau dengan teliti aliran trafik terbaharu tersebut dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Ia bertujuan untuk membantu pemandu yang masih belum biasa dengan perubahan aliran trafik ini dan pihak polis menasihatkan agar semua pemandu mematuhi tanda-tanda jalan raya dan arahan dari pegawai polis yang sedang bertugas,” tambahnya.

Turut hadir di sidang media tersebut, Ketua JSPT Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh; Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahya; Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintenden Suffian Abdullah serta pegawai-pegawai kanan dan rendah dari JSPT Kuala Lumpur.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat